Rabu, 19 Mei 2010

TANPA ILMU MANUSIA BUTA

1. Ilmu itu penting sekali. Tanpa ilmu tertolaklah amalan. Kerana Allah tidak akan menerima amalan sijahil biar ia membukit sekalipun. Maka beramallah dengan ilmu.

2. Para ulama berkata: “ilmu mesti berdiri di hadapan amalan dan perbuatan seseorang.” Bukannya amalan di hadapan ilmu. Sekali lagi, letakan ilmu itu di hadapan amalan. Barulah syiatan tidak dapat merosakan. Bila ilmu di hadapan amalan, maka syaitan akan ketakutan.

3. Ilmu itu Nur (cahaya) yang menjadi penunjuk dan pembimbing segala amalan. Ibarat tanpa lampu suluh bergerak di malam yang gelap gelita tanpa sebutir pun bintang di langit, maka seseorang itu berkemungkinan sahaja berhadapan dengan beberapa risiko yang merbahaya. Mungkin akan terjatuh ke dalam lopak yang cetek atau lubang yang dalam. Boleh jadi terpijak duri, paku atau kaca. Mungkin akan disengat atau dipatuk bintang berbisa atau boleh jadi kepala akan terhantuk dengan sesuatu yang menyakitkan. Andai tiada lampu menara di pantai boleh jadi nahkoda dan anak kapal sekeliannya akan sesat hanyut di tengah lautan luas. Pendekata, pelbagai bahaya andai meredah kegelapan malam tanpa lampu suluh.

4. Demikian halnya dengan kehidupan. Hidup yang tidak bersuluhkan ilmu akan menjerumuskan seseorang ke dalam bahaya dan kerosakan yang tidak sedikit. Saidina Umar pernah mengungkapkan “..betapa seseorang yang berbuat sesuatu tanpa ilmu maka akan berlaku nanti natijah kerosakannya lebih banyak dari hasil kemanfaatnya.” Lirik nasyid berbunyi: "Tanpa agama manusia binasa. tanpa ilmu manusia manusia buta.' kata-kata yang tepat sekali.

5. Tersebut di dalam hadis dari Mu’az bin Jabal r.a. berkata: “Ilmu adalah pemimpin dan amalan adalah pengikut.” (Riwayat Ibn Abdil Barr daripada Mu’az bin Jabal).

6. Jesteru, dekatkanlah diri kita dengan sumber-sumber ilmu, dengan majlis-majlis ilmu. Meriahkanlah majlis ilmu tak kira di mana sahaja. Hidupkan suasana ilmu hatta di rumah dan di pejabat kita. Dampingkanlah diri dengan para alim ulamak bukannya bersahabat dengan orang-orang tamak, atau dengan orang yang berfikiran semak ataupun membuang masa duduk berjam-jam di kedai mamak. Kalau tak ada apa-apa yang penting eloklah ambil masa membantu kerja sekolah anak-anak.

7. Ampun maaf andai terkasar bahasa.

1 ulasan: