Rabu, 19 Mei 2010

Bila ALLAH Marah...

Alhamdulillah yang masih menghidupkan kita pada hari ini. Alhamdulillah kerana Dia telah me‘rezeki’ kan kita ketaatan kepadaNya. Dapat taat kepadaNya adalah anugerah yang tidak ternilai. Dapat bangun pagi memulakan hari baru dengan mengingati dan mentaatiNya adalah nikmat pemberian yang tiada tandinganya. Ya, bagi kaum yang memikir dan merenung hakikat kebenarannya.

Falakal Hamd Walakas Syukr…

Ramai manusia yang dihidupkan lagi pada hari ini, namun sebahagian besarnya telah memulakan awal paginya dengan sarapan kekufuran, menggomoli dosa, meranduk kesesatan dan melahap kemaksiatan.

Dosa semalam dan maksiat silam terus dilakukan tanpa rasa kesal dan pedih kerana titik-titik hitam dosa yang melumuri mahkota hati menjadikan rutin penderhakaan kepada Tuhan tidak dirasakan apa-apa lagi.

Lihatlah, dendam kesumat kelmarin belum sahaja reda, tetapi hari ini ianya telah dinyalakan semula dengan maraknya bahkan ditambah lagi dengan dendam dan ammarah baru dengan warna dan perisa yang berbagai-bagai

Orang lain bangun pagi memikirkan apa yang hendak dimakan, namun para penzalim dan pendosa memulakan awal pagi dengan pertanyaan berhambur kerakusan… ‘siapa yang akan kita makan?’

Ramai yang bangun pagi namun tidak menunaikan kewajipan dua rakaat Subuh tetapi bingkas pantas bagai harimau kumbang membelah pagi mencari sesuap rezeki. Rezeki Allah dikejar dan ditelan semahu-mahunya, namun solat Subuh semudahnya ditinggal dan diabaikan. Rezeki dibelasah namun Pemberi rezeki dilupa dan disisihkan.

Si pengumpul dan penumpuk kekayaan pula setelah menghirup secangkir kopi tanpa menyebut nama Ilahi, merentas bumi penuh haloba, mengaut apa sahaja tidak kira dari mana sumbernya. “kita akan akan ketinggalan dan terkebelakang kalau terlalu fikir halal haram,” ujarnya langsung tidak berhati-hati.

Ada yang bangun pagi dalam janabah yang tidak terangkat walau berendam kesejukan dalam tujuh lautan dunia, kerana malamnya melampiaskan nafsu dengan wanita yang diharamkan Allah ke atas dirinya. Tercabutlah keimanan, hilanglah keberkatan, rosaklah keturunan, ketawalah sang syaitan kerana itulah seburuk-buruk jalan yang dikeji Tuhan.

Hanya Taubat Nasuha sahaja jalan kembali.

Kini, kesejukan, kesyahduan dan kenyamanan pagi sudah semakin berkurangan dan semakin tinggal dalam kenangan. Kepanasan dosa yang memenuhi jiwa manusia meluap-luap habanya sehingga menyingkir jauh kesejukan dan kenyamanan diri dan muka bumi.

Ahh, bebola bumi semakin panas, bahang membakar kerana kemanusiaan telah digantikan dengan kebinatangan dan kesyaitanan. Ya, pemanasan global. Bukan hanya kepanasan cetusan industri bahkan kepanasan dosa dan maksiat yang tercetus dari dalam diri. Dalam Al-Qur’an ada dijelaskan melalui firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Ar-Rum ayat 41 mafhumnya: “Telah zahir kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”

Dosa dan maksiat yang tidak diinsafi, malah terus digomoli bukan sekadar menimbulkan kepanasan dan bahang di dalam jiwa, malah membangkitkan kemarahan Allah Yang Maha Esa.

Berhati-hatilah kita dari asbab kemurkaan Allah dan kemarahanNya.

Bila Allah marahkan seseorang, Kemana pun dia pergi, hati manusia jadi meluat dan tidak senang dengannnya. Dia akan rasakan kebencian manusia meluap-luap ke atas dirinya.

Ibnu Abi Laila berkata: Abu Darda’ r.a. menulis sepucuk surat kepada Maslamah bin Makhlad : “Salam ‘alaik. Adapun selepas itu. Bila seorang hamba melakukan kemaksiatan, maka marahlah Allah kepadanya. Bila Allah marah, Dia akan menjadikan manusia turut marah dan membencinya.” (Muntaqal fawa-id : Abi Abdullah faisal Ibn Abduh AL Qa-sd Al hasyidi)

Bila Allah murka, kepanasan lahir dan batin akan sekata dan menjadi satu bahasa. Akhirnya, yang manusia akan rasa hanyalah kepanasan, kerimasan, kerisauan dan kesesakkan yang berganda. Apakah ini neraka yang disegera? Wal’iyazubillah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan